Monday, 23 March 2015

Coklat Low Carb Malaysia

Tidak dapat dinafikan kadang-kala kita akan merasa sangat teringin untuk memakan coklat ketika berDA. Semua orang sukakan coklat tidak kiralah lelaki atau perempuan. Jadi, ini ada berita baik buat penggemar coklat sekalian.

Terdapat coklat yang khusus untuk Low Carbers dan juga bebas gluten seperti di gambar di bawah.


Aku membeli coklat ini di Cold Storage Plaza Pelangi, Johor Bahru dengan harga RM20.99. Agak mahal juga bagiku tapi teringin punya pasal, ku relakan jua. 

Dengan kandungan karbohidrat sebanyak 2.1 g, maka bolehlah dimakan tanpa was-was. Bagaimana dengan rasanya? Tiada beza dengan coklat biasa. Memang sedap!

Friday, 6 March 2015

Amalan Berpuasa Ketika Berdiet Atkins

Sebelum memulakan Diet Atkins (DA), aku agak kerap mengamalkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Pertama, aku niatkan puasa sunat tersebut sebagai "supplemen" tambahan untuk menampung amalan-amalan wajibku yang aku kira banyak cacat celanya. Kedua, ia sebagai mekanisma untuk mengawal berat badanku agar tidak meningkat dengan laju. 

Jadi, apabila mula mengamalkan DA bermula 19 Disember 2014 yang lalu, aku telah cuba untuk memasukkan amalan berpuasa ini di dalam jadual DA aku. Hasilnya, alhamdulillah tiada apa-apa kesan buruk. Sama sahaja puasa ketika sebelum berDA dan selepas berDA. Makanan untuk sahurku sama seperti yang aku makan setiap pagi ketika bersarapan. Manakala untuk berbuka aku akan makan makanan seperti ikan atau ayam goreng atau kedua-duanya bersama sayur goreng. Itulah rutinku.



Untuk pengambilan air, ketika bersahur aku akan minum di antara 1 - 1.5 Liter air kosong bersama segelas teh hijau. Ketika berbuka, amaun air yang diambil juga di antara 1 - 1.5 Liter air kosong bersama segelas teh hijau. Harus kita ingat amalan meminum air yang cukup sangat penting ketika berpuasa bagi mengelakkan kita terdehidrat apatah lagi dengan cuaca yang cukup panas sekarang ini.

Diharapkan dengan amalan berpuasa ini akan dapat membantu kita untuk terus sihat dan fit samada dari segi rohani dan juga jasmani, insyallah.

Thursday, 5 March 2015

Laporan Terkini Misi BMI Sihat

Hari ini genaplah 74 hari ataupun lebih kurang 10 minggu lebih aku mengikuti program DA di bawah pantauan diri sendiri. Di bawah ini disertakan maklumat yang merupakan progress yang dapat dicapai oleh aku setakat ini.

Berat terkini aku adalah 69 kg. Ini bermakna aku telah mengurangkan sebanyak 13 kg daripada berat asal ketika memulakan DA iaitu 82 kg. Seumur hidup aku tak pernah lagi dapat cecah berat bawah 70 kg. Ini suatu pencapaian baru, alhamdulillah. Apa pun masih ada lagi 4-5 kg untuk dikurangkan bagi mencapai target berat aku.

BMI aku sekarang adalah 23.32 dan dikategorikan di dalam normal weight. Masih lagi di border di antara normal weight dan overweight bagi aku. Maksudnya jika aku tidak menjaga pemakanan, maka ianya mungkin boleh meningkat ke tahap overweight semula.

Saiz pinggang aku pula adalah 29.5. Berkurang sebanyak 6 inchi daripada saiz asal iaitu 35.5 inchi.

Tuesday, 3 March 2015

Resepi Roti/ Biskut Flaxseed

Sangat sedap jika anda memakan biskut/roti flaxseed ini dengan cheese!

Bahan-bahan:

-1 cawan flexseed
-Secubit garam
-Secubit baking powder
-Setitis esen vanilla
-Satu sudu besar minyak masak ( boleh juga digantikan dengan butter yang dicairkan)
-Satu biji telur saiz A

Cara; 

1. Kisar halus flexseed
2. Gaul bersama garam dan baking powder
3. Masukkan telur, minyak masak dan esen vanilla
4. Kacau adunan sehinga sebati
5. Sapukan sedikit minyak pada loyang atau non-stick pan
6. Panaskan oven atau non-stick pan
7.Ambil sedikit daripada adunan dan bentukkan dan leperkan menggunakan tangan atau rolling pin (jika mahu membuat biskut jadikan ia lebih nipis dan jika ingat membuat roti tebalkan sedikit)
8. Letakkan adunan yang telah dibentuk ke atas pan atau loyang
9. Bakar pada suhu 180 darjah jika menggunakan oven dan gunakan api yang sederhana jika menggunakan non-stick pan sehingga biskut/roti masak

P/s: Kredit to my masterchef, Mrs S.

Sunday, 22 February 2015

Sarapan Atkins



Inilah makanan rutinku untuk bersarapan sepanjang berDA. Tanpa jemu setiap hari. Telur goyang yang dicampur bersama kubis dan ditabur bersama bilis goreng di atas. Timun sebagai hiasan dan semestinya bersama mayonis Kewpie botol merah yang lazat. Tiada dalam gambar adalah segelas teh hijau. 

Saturday, 21 February 2015

4 Tips Mengatasi Sembelit Ketika Berdiet Atkins


(Gambar diambil dari sini)
Seperti yang telah aku nukilkan di posting yang lalu, masalah sembelit kadang kala berlaku kepada Atkiners yang baru memulakan diet ini. Masalah sembelit ini pastinya agak merengsakan. Masakan tidak jika sebelum berDA aku boleh membuang air dengan aman, tiba-tiba apabila mengamalkan DA sistem pembuangan menjadi agak sukar terutama pada permulaan DA.

Ada banyak petua yang dikongsikan oleh rakan-rakan Atkiners di FB group Kelab Diet Atkins Malaysia. Apapun, aku hanya menyenaraikan 4 tips yang boleh diamalkan seperti berikut;

1. Minum air kosong yang mencukupi


Ini adalah sangat penting! Pastikan anda meminum air yang mencukupi mengikut berat badan anda. Yang disarankan adalah 1 Liter air untuk 25 KG.

Untuk 1 KG berat, maka 0.04 Liter air diperlukan. Katakan berat anda adalah 98 KG, maka,

98 KG x 0.04 Liter =  3.92 Liter

Jadi, di sini anda memerlukan minimum 3.92 Liter  (~ 4 Liter) air sehari.

2. Minum teh hijau

Setiap kali selepas makan, anda boleh mengamalkan minum teh hijau. Ada perlbagai jenama teh hijau di pasaran. Aku memilih teh hijau jenama boh (harga RM9.50 di Pasaraya Econsave). Sebaiknya tidak perlu letak stevia. Minum kosong begitu sahaja.

3. Mengambil sayur-sayuran hijau

Memakan sayur-sayuran hijau seperti brokoli, bayam, kangkung dan lain-lain.

4. Makan Psyllium Husk

(Gambar diambil dari sini)

Pengambilan Psyllium Husk ini adalah saranan daripada rakan-rakan Atkiners di FB group Kelab Diet Atkins Malaysia.

Itulah 4 tips yang boleh dicuba. Untuk kes sembelit aku, pada mulanya aku bercadang untuk menggunakan Psyllium Husk bagi melawaskan pembuangan najis. Namun, selepas mengamalkan tip 1 - 3 di atas, masalah sembelit aku telah pulih, Alhamdulillah.

Jika kawan-kawan Atkiners mempunyai petua-petual lain untuk mengatasi sembelit ketika berDA, boleh kongsikan di bahagian komen untuk manfaat kita bersama ya.


Thursday, 19 February 2015

Aku Ada Diari Atkins

Ketika memulakan DA pada tanggal 19 Disember 2014 yang lalu, aku telah membuat diari Atkins versi diri aku sendiri. Tujuan aku membuat diari ini adalah untuk memantau perkembangan penurunan dan keadaan badan aku. Maklumlah, DA ini adalah benda baru kepada aku. Jadi, aku ingin melihat bagaimana reaksi badan aku terhadap diet ini.

Di sini aku letakkan contoh diari yang telah aku buat. Ya, aku hanya sempat menulis selama 11 hari dan seterusnya aku hanya tulis dalam kepala. Maksudnya aku sudah boleh mengagak dan memahami bagaimana tindak balas badan aku terhadap DA ini. Apa pun dalam masa 11 hari ini sangat penting bagi aku terutama untuk memantau survival DA aku serta perkembangan perkumuhan aku. 

Mari kita lihat diari tersebut;






Di antara gejala yang mungkin dialami semasa permulaan berDA adalah sembelit. Jadi, dengan penghasilan diari ini aku mampu untuk memantau perkumuhan terutama semasa hari-hari permulaan DA. Semasa 4 hari permualaan DA aku hadapi sedikit masalah sembelit. Namun, selepas itu keadaan kembali normal, Alhamdulilah. Aku akan kongsikan di entri lain bagaimana aku atasi masalah sembelit ini, Insyallah.

Di dalam diari ini juga, aku letakkan juga ruangan pengambilan air, senaman, perkumuhan (kuantiti dan warna tinja) dan cheat. Siap ada cheat pada hari kesembilan disebabkan ada kawan lama yang sudah lama tidak bertemu ajak makan tengahari sama-sama. Ish,ish.

Apa pun diharapkan anda akan dapat sedikit manfaat daripada diari buatan sendiri ini. Untuk makluman, di FB Kelab Diet Atkins Malaysia juga mempunyai diari yang boleh dimuat turun dan dicetak bagi tujuan ini.

Mari sihat bersama DA!






Sunday, 15 February 2015

Sokongan Moral Di Kala Berdiet Atkins



 Tidak dapat dinafikan sokongan daripada orang anda percaya di dalam berdiet turut merupakan salah satu faktor penting. Bagi diriku, aku bertuah kerana isteri tersayang, Mrs S, memberikan sokongan sepenuhnya di dalam aktiviti DA aku ini. Walaupun beliau tidak mengikuti DA sebelum ini, tetapi isteriku sanggup memasak makanan-makanan yang dikategorikan sebagai lulus DA untukku dan turut sama menjamah makanan yang sama. Cuma beberapa hari ini, my lovely wife pun sudah mula mengikuti DA. Ini bukan kerana beliau overweight atau obes, tetapi kerana kami ada misi lain. Hehe. Apa pun, terima kasih banyak-banyak buat isteriku yang tercinta dan I Heart U very much!

Jadi, kita anda ada suami/isteri/teman rapat/ahli keluarga yang boleh dikongsi bersama-sama impian dan cita-cita anda untuk kurus dan fit melalui DA, maka kongsilah impian tersebut bersama mereka. Dengan sokongan dan galakan daripada insan-insan tersayang, Insyallah, kejayaan akan lebih dekat untuk digapai.

4 Tips Penting Sebelum Memulakan Diet Atkins

Bagi anda yang mahu memulakan DA ini, aku ingin kongsikan 4 tip penting sebelum memulakan diet. Tip-tip ini bagi memastikan kita sentiasa fokus dalam berdiet.

1. Mempunyai MATLAMAT YANG JELAS mengapa mahu berdiet

Ini bermakna anda bukan hanya sekadar ikut-ikut kawan, bermusim dan sebagainya. Anda melakukan DA ini untuk mencapai berat badan yang unggul demi kesihatan dan masa depan anda sendiri.

Saturday, 14 February 2015

Bagaimana Aku Mula Berdiet Atkins

Seingat aku, aku mula tertarik untuk mengenali DA selepas pulang dari kampung pada bulan Disember 2014 yang lalu. Biasalah apabila pulang ke kampung. Masakan bonda yang tidak pernah terkalah itu menjadikan berat badanku naik mencanak. Ketika kali terkakhir aku menimbang berat badan, aku terkejut. Wah, 82 kg ! Ini sudah lebih!

Bayangkan dengan dengan berat 82 kg, tinggi 172 cm, dan saiz pinggang 35.5, maka secara kiraan Body Mass Index (BMI) aku adalah seperti di bawah;


Aku sudah termasuk dalam statistik orang berlebihan berat badan di Malaysia! Arghhh! Aku memang mengenali diriku di mana berat badan aku berpotensi untuk naik lebih tinggi jika tidak dibendung. Jadi, sebelum masuk ke fasa obese, aku bertekad untuk melakukan sesuatu.

Friday, 13 February 2015

Diet Atkins; Pengenalan Ringkas

Diet Atkin (DA) merupakan sejenis bentuk diet yang diperkenalkan oleh Robert Coleman Atkins, seorang ahli nutrisi dari Amerika. Menurut sumber yang diperolehi daripada wikipedia, Dr Atkins telah menggunakan teknik ini bagi menyelesaikan masalah menurunkan badannya sendiri. Setelah berjaya, beliau telah mempopularkan kaedah ini di dalam siri-siri buku nya sendiri seperti Dr. Atkins' Diet Revolution pada tahun 1972, Dr. Atkins' New Diet Revolution (2002) dan seterusnya.

Secara mudahnya DA menurunkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat (carbohydrate) dan lemak di dalam badan dengan mengehadkan pengambilan karbohidrat sehari (bergantung kepada fasa-fasa tertentu) dan membanyakkan makanan daripada sumber protein.

Terdapat 4 fasa utama di dalam DA yang boleh diringkaskan kepada 4 Fasa utama seperti di lampira di bawah;


Tidak dapat dinafikan Fasa 1 (Induction) adalah fasa yang sangat kritikal kerana di sini akan menentukan kejayaan anda untuk menurunkan berat badan dan meneruskan fasa-fasa seterusnya. Tapi percayalah tiada yang mustahil ! Jom buktikan !

Thursday, 12 February 2015

Wednesday, 11 February 2015

Salam Pembuka Bicara dan Disclaimer


Assalamulaikum wbt dan Salam sejahtera.

Selamat datang ke blog Low Carbonista yang dimiliki oleh Mr K. Sesuai dengan namanya, blog ini adalah berkisar mengenai perjalananku  untuk mengurangkan berat badan melalui diet rendah karbohidrat (low carb) atau Diet Atkin (DA) dan perkara-perkara lain yang aku rasakan ingin dikongsi bersama yang tidak berkaitan dengan low carb tetapi turut menumbang ke arah pembentukan diri yang lebih baik dan memberi pengajaran..

Apa yang aku coretkan di sini berkaitan DA adalah sekadar pengalaman peribadi setelah beberapa bulan mengamalkan DA ini. Aku bukanlah seorang pakar bertauliah atau certified trainer. Hanya seorang insan yang telah dan sedang menjalani DA demi mencapai diri yang sihat dan fit. Apa yang baik ambillah jadikan sebagai panduan dan apa yang kurang baik jadikan sebagai sempadan. Apa-apa pun konsep blog ini adalah DAYOR - “Diet at your own risk”. Pihakku tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini sekiranya anda mengikuti apa yang terkandung di dalam blog ini.
Blog ini akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama. Samada bahasa rasmi ataupun bahasa pasar. Penggunaan bahasa rempit sepert euww, kewwww, aq dan lain-lain akan cuba dielakkan dan mungkin akan digunakan jika keadaan memerlukan. :p

Diharapkan agar anda yang membaca blog ini akan mendapat manfaat yang sewajarnya, insyallah. Selamat membaca dan berdiet!